Topografi
Papar merupakan sebuah bandar dan juga daerah yang terletak di Bahagian Pantai Barat, Sabah, Malaysia Timur. Ia terletak 38 kilometer ke selatan bandar raya Kota Kinabalu, ibu negeri Sabah.
Papar juga merupakan destinasi persinggahan utama di Sabah memandangkan lokasinya yang strategik yang terletak di tengah-tengah laluan antara Putatan dan Kota Kinabalu di utara dan Membakut dan Beaufort di selatan.
Sejarah Penubuhan Pejabat Kesihatan Daerah Papar
Bangunan Pejabat Kesihatan yang ada sekarang merupakan bekas bangunan Hospital Papar yang telah dibina 40 puluh tahun dahulu sebelum digunakan sebagai Pejabat Kesihatan pada awal tahun 80an.
Pejabat Kesihatan Papar diwujudkan bagi memastikan perkhidmatan Kesihatan Awam yang disediakan dapat dipertingkatkan dan masyarakat setempat dapat menikmati kemudahan perkhidmatan Kesihatan Awam yang lebih baik terutamanya dalam penjagaan kesihatan persekitaran selain dari kawalan penyakit di Daerah Papar.
Dengan adanya perkhidmatan Kesihatan Awam terutamanya kepada perkhidmatan Kesihatan Persekitaran dan kawalan penyakit dan tidak berjangkit akan dapat menaik taraf status kesihatan masyarakat setempat seperti dapat mengurangkan kadar kejadian penyakit sama ada penyakit berjangkit mahu pun penyakit tidak berjangkit serta kesihatan persekitaran yang semakin perlu diambil perhatian pada masa kini.
Untuk menaiktaraf perkhidmatan Kesihatan Awam, Pejabat Kesihatan Papar telah di naikkan menjadi sebuah PTJ pada tahun 2012. Pejabat Kesihatan Daerah Papar secara rasminya beroperasi sebagai PTJ sendiri mulai pada 2 Januari 2012. Pada masa itu, PKD Papar mempunyai kekuatan anggota seramai 262 orang pada keseluruhannya.
Perjalanan sebagai sebuah PTJ baru
Pejabat ini pada mulanya adalah di bawah seliaan Pejabat Kesihatan Kawasan Kota Kinabalu.
Dr. Lim Jack Fang, Pegawai Kesihatan Daerah yang menjadi Ketua Jabatan pada tahun 2010 telah membuat permohonan agar pejabat ini dijadikan sebagai Pusat Tanggungjawab. Namun pihak kementerian hanya meluluskan pejabat ini sebagai taraf Pusat Kos, di mana urusan Pengurusan Kewangannya adalah di bawah PTJ yang sedia ada dan PTJ tersebut adalah yang paling hampir dengan pejabat ini.
Oleh yang demikian, Hospital Papar telah dijadikan PTJ bagi pejabat ini sebagai tumpangan untuk urusan Kewangan. Pusat Kos PKD Papar merupakan Perintis bagi rancangan KKM untuk mengurangkan jumlah PTJ dalam urusan Audit Dalam.
Taraf sebagai Pusat Kos PKD Papar berjalan hampir setahun lebih sahaja, ini kerana banyak kelemahan yang timbul sepanjang pengoperasian sebagai Pusat Kos, sehingga di bawa ke Mesyuarat di peringkat KKM sebanyak dua (2) kali. Daripada itu, kementerian akhirnya telah meluluskan taraf sebagai PTJ Pejabat Kesihatan Daerah Papar mulai 2/1/2012.
Perancangan untuk PKD Papar pada masa akan datang
Pada masa kini, Pegawai Kesihatan Daerah Papar iaitu Dr. Alfred Aldrin telah merancang untuk mewujudkan Klinik Kesihatan Papar (cadangan tapak tanah di kawasan Pantai Manis, Papar) dan juga Klinik Kesihatan Kimanis (cadangan tapak tanah di kawasan Kimanis).
Permohonan untuk tapak tanah di Pantai Manis sudah diluluskan untuk kegunaan bangunan kesihatan manakala permohonan di kawasan Kimanis telah ditolak kerana kawasan tersebut terlibat untuk pembangunan pekan Kimanis.